"Tanamkan dalam diri kamu sifat kecintaan terhadap Rasulullah S.A.W "-Al Muhaddith Syeikh Ibrahim Abdul Baith Al Husaini Al Kattani

Alhamdulillah pada selasa lepas 20 Oktober 2009 bersamaan 1 Zulkaedah 1430H Majlis Pembacaan Kutub Sittah-Sohih Al Bukhari telah melabuhkan tirainya bagi siri yang pertama.Majlis yang berlangsung selama empat hari ini telah mengadakan penutupannya di Nasr City Sporting Club(NCSC).Majlis ini mendapat sambutan yang hangat di kalangan mahasiswa pengajian Islam dan perubatan Malaysia,Singapura dan Brunei Darussalam.



Kelihatan para masyaikh besemangat memberikan kalam-kalam mutiara kepada para mahasiswa.Kelihatan juga beberapa orang mahasiswa yang tidak dapat menahan sebak apabila mendengar kalam-kalam para masyaikh Al Azhar.

Al Muhaddith Syeikh Ibrahim Abdul Baith Al Husaini Al Kattani


Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran Mufti Besar Mesir,Syeikh Prof Dr Ali Jumah Muhammad Asy-Syafie.Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan di Dar Al Ifta(Pusat Pemfatwaan) beliau sempat meluangkan masa melawat anak-nak Malaysia yang dahagakan ilmu pengetahuan.Beliau kemudiannya menyampaikan muhadharah(mcm kuliah la..) khas mengenai Sohih Al Bukhari.

Pemangku Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM) Ust Shahrizan Mohd Hazimin menyerahkan logo persekutuan kepada mufti mesir,Dr Ali Jumah.




Syeikh Ibrahin dan Syeikh DR Usamah sedang menjamu selera


Tahniah buat penganjur majlis ini.Hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian semua.Semoga siri yang seterusnya dapat diadakan pada masa yang akan datang.Insya Allah..


Muhammad Akmal Bin Zainal Abidin,
Cairo,Arab Republic of Egypt.

sumber:

www.pmram.org
kutubsittah-pmram.blogspot.com

Kenyataan Rasmi Markaz Penyelidikan dan Hasil Kajian Ilmiah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(MANHAL-PMRAM) mengenai Isu Pemakaian Niqab(purdah)

Dipetik dari hairulnizammathusain.blogspot.com

Banyak orang macam still nak salahkan al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi. Hasil temuramah majalah al-Musowwar dengan beliau menjelaskan mengapa beliau mengambil tindakan meminta pelajar wanita yang masih kecil itu untuk membuka purdah. Ini kerana beliau terperanjat ada pelajar perempuan yang memakai purdah di dalam bilik kelas yang hanya ada pelajar perempuan.

Suka untuk mendedahkan kepada para pembaca bahawa kelas di dalam sekolah rendah, menengah dan universiti al-Azhar tidak mencampurkan antara pelajar lelaki dan perempuan.

Maka diharap masyarakat Malaysia tidak terlalu cepat dalam membuat kesimpulan berbaur negatif terhadap al-Syeikh Muhammad Sayyid al-Tantawi.

Saya sertakan di bawah kenyataan rasmi MANHAL PMRAM.

Sumber: http://pmram.org/index.php?option=com_content&view=article&id=704:kenyataan-rasmi-manhal-pmram-isu-pemakaian-niqabpurdah&catid=8:isu-semasa&Itemid=70

*******************

Berikut adalah pendirian MANHAL PMRAM berhubung dengan isu niqab yang membabitkan al-Imam al-Akbar Prof. Dr. Muhammad Sayyid Muhammad Tantawi.

1. Permasalahan pemakaian niqab/purdah bagi wanita adalah merupakan perselisihan dalam perkara cabang (furu') di dalam perbahasan hukum. Berikut adalah kesimpulan pandangan para fuqaha terhadap masalah pemakaian niqab/purdah:

Mazhab Hanafi: Wajah dan pergelangan tangan bukanlah aurat tetapi diharamkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatnya apabila disertai dengan syahwat.

Mazhab Maliki: Wajib bagi seorang wanita untuk menutup muka dan pergelangan tangan apabila berada bersama lelaki ajnabi

Mazhab Syafi`e: Tidak wajib menutup muka dan pergelangan tangan. Namun pandangan muktamad di sisi Mazhab Syafi`e adalah wajib menutup muka dan pergelangan tangan.

Mazhab Hambali: Wajib menutup muka dan pergelangan tangan.

2. Kenyataan Imam al-Akbar Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi yang telah disiarkan oleh media tempatan dan luar adalah tidak tepat dengan situasi sebenar bahkan telah diputarbelitkan.

3. Majlis Tertinggi al-Azhar al-Syarif yang bersidang pada 8/10/2009 telah membuat beberapa keputusan berkenaan isu pemakaian purdah seperti berikut:

a) Para pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar al-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar al-Syarif

b) Para pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar

c) Para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuatkuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan

d) Para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah di kalangan wanita.

e) Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha Islam.


4. Setelah meneliti dan mengkaji perkara di atas, Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan ( MANHAL ) PMRAM menegaskan beberapa perkara untuk diambil perhatian:

a) Memahami bahawa masalah khilaf tidak sepatutnya menjadi pertikaian dan perselisihan berdasarkan kaedah yang berbunyi:

" لا يُنْكَرُ الْمُخْتَلَفُ فِيْهِ ، وَإِنَّمَا يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عَلَيْهِ "

yang bermaksud:

"Perkara yang berlaku khilaf tidak perlu untuk dipertikaikan sebaliknya perkara yang perlu untuk dipertikaikan adalah apabila perkara tersebut merupakan perkara yang disepakati oleh para ulama secara Ijmak."

Oleh itu, umat Islam dibolehkan untuk mengambil mana-mana pandangan para fuqaha.

b) Menghormati al-Azhar al-Syarif sebagai satu institusi keilmuan Islam yang diiktiraf sejak dulu hingga sekarang kerana bermanhaj dengan manhaj ilmu yang sederhana (wasatiah)

c) Bersangka baik dengan para ulama sekiranya timbul usaha untuk melaga-lagakan antara mereka dalam sesuatu isu serta merujuk terus kepada sumber yang boleh dipercayai

d) Tidak melupakan isu utama yang disepakati oleh ulama iaitu wajib menutup aurat disebabkan terlalu membesarkan masalah furu'.

e) Semua pihak perlu menghormati ketetapan yang diluluskan oleh al-Azhar al-Syarif dan membenarkan pemakaian niqab/purdah di premis-premis dan rumah-rumah negeri.

Kenyataan ini telah disepakati melalui perbincangan pihak felo MANHAL PMRAM seperti berikut:

1. Mohd Juzaili b. Juhan
2. Mohd Khairi b. Abdullah
3. Hairul Nizam b.Mat Husain
4. Mohd Fakerei b. Mahyudin

Kronologi Isu Niqab(purdah) yang Melibatkan Syeikh Al Azhar,Imam Al Akbar Muhammad Sayyid Tantawi

Dipetik dari hairulnizammathusain.blogspot.com




Al-Imam Al-Akbar sering dinista oleh akhbar dan berita. Banyak tindakan dan ucapan beliau dieksploitasi sehingga beliau sering diburukkan. Sebelum ini beliau dituduh dengan tuduhan menghalalkan riba sedangkan perkara tersebut tidak berlaku sama sekali.

Kali ini beliau dituduh pula dengan tuduhan ingin mengharamkan niqab (purdah).

Berikut adalah sedikit kronologi peristiwa yang berkait dengan isu niqab ini.


**************************

1. Isu bermula apabila al-Imam al-Akbar al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi melawat satu sekolah maahad al-Azhar khas untuk pelajar perempuan (Maahad Fatayat Ahmad Allibi) pada Sabtu bersamaan 4/10/2009. Beliau telah melawat satu kelas lalu melihat ada seorang pelajar perempuan bernama Alak ( آلاء ) memakai purdah. Alak berumur 13 tahun.

2. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi telah meminta pelajar perempuan itu membuka purdah kerana kelas tersebut hanya untuk para pelajar perempuan sahaja. Beliau merasa hairan mengapa pelajar tersebut memakai purdah sedangkan kelas tersebut khusus untuk pelajar perempuan, guru yang mengajar adalah guru perempuan dan bilik kelas adalah tertutup. Alak pada awalnya tidak membuka niqab apabila Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi memintanya membuka niqab.

3. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi selepas itu telah menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan pelajar perempuan memakai purdah di dalam kelas-kelas mereka. Beliau juga menafikan kenyataan media yang menyatakan bahawa beliau bercakap dengan Alak dengan nada suara yang kasar.

4. Majlis Tertinggi Al-Azhar ( المجلس الأعلى للأزهر الشريف ) telah mengadakan mesyuarat tergempar yang dipengerusikan oleh Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi pada Khamis lalu bersamaan 8/10/2009 untuk membincangkan isu niqab ini. Majlis telah memutuskan bahawa:

• Para pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar al-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar al-Syarif

• Para pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar

• Para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuatkuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan

• Para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah di kalangan wanita.

• Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha Islam.

5. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi menegaskan bahawa beliau menghormati wanita yang memakai niqab selagi mana tidak menyakiti orang lain dan tidak membawa kepada masalah keamanan.

Beliau menegaskan bahawa tujuan ketetapan Majlis Tertinggi Al-Azhar tersebut dibuat adalah kerana untuk menjaga kehormatan para pelajar perempuan. Ini kerana berlaku pencerobohan beberapa orang lelaki ke dalam premis al-Azhar yang khusus untuk pelajar perempuan.

Selain itu ketetapan ini juga dibuat demi untuk mengelakkan berlakunya penipuan di dalam peperiksaan. Beliau menegaskan bahawa tahun lepas menyaksikan 12 kes penipuan semasa peperiksaan apabila para pelajar wanita yang berniqab yang terbabit telah meletakkan alat rakaman di sebalik niqab yang dipakai.

Sumber:

1. Surat Khabar al-Liwa’al-Islami bertarikh 15 Oktober 2009, bilangan ke 1447, m/s 1
2. Majalah al-Musowwar bertarikh 14 Oktober 2009, bilangan ke 4436, m/s 15 - 16.
3. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&cid=1254573447321&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout
4. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout&cid=1254573332008
5. http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout&cid=1254573461106&utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=rss

Majlis Pembacaan Kutub Sittah Bersama Masyaikh Al Azhar-Siri Pertama 2009



Majlis Pembacaan Kutub Sittah Siri Pertama-Sohih Al Bukhari akan diadakan pada 17 hingga 20 Oktober yang berlangsung di Al Azhar Conference Center(ACC).Cairo,Republik Arab Mesir.Kitab yang digunakan ialah Mukhtasor(ringkasan)Sohih Al Bukhari oleh Syeikh Imam Zainuddin Ahmad bin Ahmad Az Zabidi.Majlis ini adalah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir(PMRAM).Para Syeikh yang terlibat adalah:


1)Syeikh DR Yusri Al Jabbar



2)Syeikh DR Jamal Farouq



3)Syeikh Muhammad Ibrahim Al Kattani



4)Syeikh DR Saad Jaawish



5)Syeikh DR Usamah Al Azhari



Semoga majlis ini dapat berlangsung dengan baik dan lancar serta mendapat keberkatan dan kerahmatan dari ALLAH taala.



Muhammad Akmal bin Zainal Abidin,
Fakulti Usuluddin-General Theology,
Al Azhar University Cairo,
Arab Republic of Egypt.