SINOPSIS PUTERI LI PO [ANTOLOGI KERUSI - T5]

Drama Puteri Li Po berkisar tentang seorang puteri yang berasal dari Tanah Besar China, Puteri Li Po yang berkahwin dengan Sultan Mansor Syah, Sultan Melaka. Puteri Li Po yang berusia dalam lingkungan 18 tahun diberikan kepada Sultan Melaka sebagai hadiah persahabatan. Puteri Li Po merupakan isteri keempat Sultan Melaka. Ketabahan dan kesabaran Puteri Li Po dalam menempuh pelbagai dugaan dalam kehidupannya ketika di Melaka, dianggap sebagai suatu kejayaan dan menunjukkan sifat kepahlawanan yang ada pada dirinya. Selain itu, Puteri Li Po juga telah berjaya menguasai bahasa Melayu walaupun masih baru menetap di situ.
Puteri Li Po mempunyai istananya sendiri. Beliau dibantu oleh dayang yang bernama Dang Wangi, Kembang China dan beberapa orang dayang yang lain. Sementara Tun Perpatih Putih dan Hang Jebat pula ditugaskan untuk mengambil tahu segala masalah yang dihadapi oleh Puteri Li Po. Sultan Mansor Syah pula jarang-jarang ke istana Puteri Li Po kerana dia beristeri empat.

Sifat kepahlawanan yang ditunjukkan itu menyebabkan Sultan Melaka menganugerahi Puteri Li Po gelaran “Hang”. Semasa penganugerahan itu, Puteri Li Po mohon Sultan menyampaikan salam hormat kepada Raja Cina bersama-samanya. Namun, Sultan enggan kerana bimbang Raja Cina mengalami ketulahan. Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati Puteri Hang Li Po. Atas dasar kasih kepada Puteri Hang Li Po, Sultan akur dengan kehendaknya. Rasa tidak puas hati Puteri Hang Li Po makin ketara dan terbawa-bawa hingga ke istananya. Puteri Hang Li Po menganggap Sultan Mansor cuba memalukannya. Namun begitu, baginda ditenangkan oleh Raden Galoh Cendera Kirana, isteri ketiga Sultan Mansor Syah yang menceritakan segala sebab dan akibat sembah tidak boleh dikirim kepada ayahanda baginda. Hal ini adalah kerana takut ayahanda baginda Puteri Hang Li Po terkena tulah Sultan Mansor Syah. Sultan Mansor Syah merupakan seorang sultan yang berdaulat. Hal ini dibuktikan apabila ayahanda Raden Galoh terkena penyakit gatal-gatal apabila sembah Sultan Mansor Syah dikirim kepada Maharaja Majapahit.

Akibat selalu kesepian dan kehausan belaian kasih sayang Sultan Mansor Syah, maka Puteri Hang Li Po telah menaruh perasaan terhadap Hang Jebat. Beliau jatuh cinta kepada Hang Jebat semenjak Hang Jebat datang ke negeri China dahulu. Namun begitu, cintanya terhadap Hang Jebat ditolak kerana Hang Jebat lebih menyayangi Dang Wangi. Hang Jebat juga tidak sanggup menderhaka Sultan Mansor Shah. Perasaan kasih Puteri Hang Li Po kepada Hang Jebat telah disuarakan oleh Dang Wangi kepada Hang Jebat ketika baginda sultan tidak bersemayam di istana kerana pergi berburu.

Puteri Hang Li Po yang sangat kecewa dan berasa malu itu asyik berkurung di dalam bilik sahaja. Dia tidak mempedulikan makan dan minumnya. Hal ini menyebabkan Dang Wangi turut berasa susah hati dan memujuk Puteri Hang Li Po. Akhirnya, Dang Wangi terpaksa berterus terang bahawa dia dan Hang Jebat saling mengasihi.

Setelah mengetahui bahawa Dang Wangi turut menyayangi Hang Jebat. Puteri Hang Li Po menjadi marah dan Dang Wangi dihantar sebagai persembahan persahabatan Puteri Hang Li Po kepada Tuanku Permaisuri Nur Pualam supaya Dang Wangi bekerja di istananya pula. Tujuan Puteri Hang Li Po bertindak sedemikian adalah supaya Hang Jebat tidak selalu datang ke istananya kerana Puteri Hang Li Po berasa malu berdepan dengan Hang Jebat.

Peristiwa Hang Jebat menolak cintanya menyedarkan Puteri Hang Li Po tentang peranannya sebagai isteri Sultan Melaka. Beliau berazam mahu mempelajari segala adat resam di negeri Melaka dengan lebih mendalam. Puteri Hang Li Po mendapat khidmat daripada Kembang Cina.

Sekembalinya baginda sultan ke istana, baginda telah diberitahu akan dua berita gembira, iaitu dengan sembuhnya penyakit Maharaja China dan Puteri Hang Li Po telah hamil. Kegembiraan ini disambut dengan pesta selama tiga hari tiga malam.

0 comments:

Post a Comment